Kisah Ajaib Sebatang Tamar Yang Mendidik Jiwa
Kisah ini sangat menyentuh hati tatkala membacanya. Betapa hina nya rasa diri ini. Pokok Tamar yang begitu dekat dengan Rasulullah juga menangis kerana sangat merindui baginda. Bagaimana pula dengan kita ini? Umat Nabi yang sangat di rindukan baginda.
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa pada masa itu masjid Rasulullah ﷺ beratap pelepah pokok tamar @ kurma. Jika Rasulullah ﷺ berkhutbah, baginda berdiri di atas salah satu batang pokok tamar. Oleh kerana jumlah umat Islam bertambah ramai, maka dicadangkan dibina mimbar agar jemaah majlis yang berada di belakang dapat melihat Rasulullah ﷺ ketika berkhutbah.
Cadangan Saidina Abu Bakar As-Sidiq ra supaya dibina mimbar yang baru diterima Rasullulah ﷺ. Lalu para sahabat pun membuat mimbar daripada kayu yang mempunyai 3 anak mata tangga. Apabila mimbar yang baru itu siap, Rasulullah ﷺ pun mula memberikan khutbah di atas mimbar baru tersebut, malah Nabi merasa selesa dengan mimbar yang baru itu lalu tidak menggunakan lagi batang tamar yang sering Baginda gunakan sebelum ini.
Namun, ketika Rasullullah ﷺ menggunakan mimbar baru itu, kedengaran suara rintihan seperti tangisan unta kehilangan anak yang semakin lama semakin kuat hingga menggoncangkan tanah yang terus bergetar sehingga para sahabat pun bertanya-tanya.
Rupa-rupanya, suara tangisan sedih itu datangnya daripada batang pokok tamar usang yang dulunya sering kali digunakan oleh Rasullullah ﷺ.
Pohon Tamar Rindukan Rasulullah ﷺ
Rasulullah ﷺ tersenyum. Lalu Baginda turun daripada mimbar dan menghampiri pokok tamar yang tidak jauh dari mimbar tersebut. Rasulullah ﷺ meletakkan tangan pada batang pokok tamar dan mengusap-usap dengan perlahan-lahan.
Rasulullah ﷺ berkata pada pokok tamar itu: “Jika engkau mahu, aku akan jadikan engkau dinding masjid ini, akarmu tumbuh lagi, tubuhmu hidup lagi dan engkau berbuah lagi. Atau jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah سبحانه وتعالى agar engkau akan menjadi pokok di syurga, supaya para wali Allah dapat memakan buah-buahmu.”
Batang tamar itu menjawab: “Saya memilih untuk ditanam ke dalam tanah dan akan tumbuh di syurga supaya wali-wali Allah dapat memakan buahku dan saya berada di tempat dimana di dalamnya saya kekal.”
Lalu goncangan tanah dan suara rintihan pun berhenti. Rasulullah ﷺ kemudian kembali pada mimbar dan menyampaikan kejadian tersebut kepada para sahabatnya. Rasulullah ﷺ berkata: “Ia (pokok kurma) memilih negeri yang kekal berbanding negeri yang fana ini!”
Rasulullah ﷺ kemudian menyuruh supaya ditanamkan batang pokok tamar itu berhampiran mimbar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga.
Jabir RA berkata, “Pokok kurma itu juga menangis apabila ia mendengar orang berzikir atau mendengar bacaan al-Quran dekatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Inilah kisah batang kering dari pohon tamar yang menangis kerana sangat rindukan Rasulullah ﷺ. Begitu kasih, cinta dan rindunya sebatang pohon tamar ini kepada Rasulullah ﷺ hanya kerana Rasulullah ﷺ beralih mimbar untuk berkhutbah. Allahhuakbar!
Hasan al-Basri apabila meriwayatkan kisah ini, beliau pun menangis dan berkata; “Wahai hamba Allah! Batang tamar pun rindu kepada Rasulullah ﷺ, maka kamu semua lebih utama untuk merasa rindu bertemu dengan Rasulullah ﷺ.”
Cuba kalian bayangkan! Itu hanya sebatang pohon tamar yang berada dekat dengan Nabi kita. Bagaimana pula dengan kita? Bagaimana dengan kasih, cinta dan rindu kita kepada Rasulullah ﷺ, nabi yang akan memberikan syafaat kepada kita di akhirat nanti. Nabi yang menangis kerana sangat rindukan kita walau tidak pernah berjumpa dengan kita, umat baginda.
Pernahkah kita menangis kerana rindukan baginda? Jika betul kita rindukan baginda, sejauh mana kita tunjukkan bukti kecintaan dan rasa rindu itu? Apa yang kita lakukan?
Berselawat kepada baginda juga amat susah sekali walaupun kita tahu akan kelebihannya. Allahhu. Ampunkan kami Ya Rasulullah ﷺ.
Selawat orang Mukmin ialah memohon rahmat daripada Allah سبحانه وتعالى ke atas Nabi Muhammadﷺ
.إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi (Muhammad ﷺ). Wahai orang-orang yang beriman! Bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Al-Ahzab: Ayat 56)
Banyak cara nya untuk menunjukkan kecintaan kita kepada baginda. Contohnya dengan berselawat, zikir, hadir ke majlis ilmu, melakukan amalan-amalan sunat, menyebarkan kebaikan dan mengajak ramai saudara mara hadir ke pameran artifak Rasulullah SAW dan para sahabat RA.
Pada tahun ini, pameran ini di adakan di Muzium negeri Kedah. Rebutlah peluang ini. Artifak-artifak ini dikumpulkan dari serata dunia untuk dipamerkan kepada semua yang hadir. Ianya merupakan artifak tulen dan bukannya replika. Semoga dengan hadir ke pameran ini dapat meningkatkan lagi rasa cinta dan rindu kita kepada banginda, Nabi SAW.
Salam rindu hanya buatmu Ya Rasulullah
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ
Sumber rujukan: https://shafiqolbu.wordpress.com